SEPANG, 2 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan rundingan segera dengan rakan sejawatnya dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi bagi memastikan rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) hari ini dibebaskan dengan segera.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri kepada beliau pagi tadi melalui panggilan telefon.
"Perdana Menteri mengikuti (perkembangan) secara dekat dan menghubungi saya untuk bukan sahaja bertanya mengenai situasi semasa tetapi juga memberi sepenuh komitmen akan berbuat apa sahaja untuk memastikan rakyat kita dalam keadaan selamat, dan sedaya upaya untuk dapat kita bawa pulang selepas proses negosiasi,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata peranan Perdana Menteri amat penting kerana SNCC dan GSF hanya mampu bergerak di peringkat teknikal manakala laluan diplomatik serta hubungan antara kerajaan menjadi kunci utama untuk membebaskan tahanan.
Setakat 10.44 pagi (waktu Malaysia) tadi, 14 daripada 44 kapal flotila telah dipintas dan 201 daripada 497 peserta misi kemanusiaan itu termasuk 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan oleh tentera Israel.
Terdahulu, Anwar dalam hantaran media sosial berkata beliau dan pasukannya sedang giat menghubungi pihak berkepentingan melalui saluran diplomatik bagi memastikan pembebasan segera sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, Asean dan antarabangsa yang menyertai misi GSF.
Beliau turut memberi jaminan bahawa perkembangan terkini usaha pembebasan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Sani Araby menyifatkan tindakan intimidasi rejim Zionis memintas flotila yang membawa bantuan kemanusiaan sebagai tindakan 'pengecut' dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
"Delegasi kali ini mewakili 45 negara merangkumi Asia, negara Eropah dan anggota NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) seperti Turki… pastinya untuk kali ini antara sebab mereka (Israel) belum melakukan apa-apa walaupun mereka ada peluang itu kerana dunia sedang melihat.
"Namun, ini adalah misi tanpa kekerasan... kita terima, berunding dengan baik dengan pihak tentera Israel melalui radio dan mereka juga bercakap dengan baik... saya kira kerana dunia melihat, dan kita mengharapkan misi ini melalui fasa seterusnya yang tidak melibatkan sebarang tindakan ganas ataupun provokasi," katanya.
Beliau berkata pihaknya mahupun sekretariat GSF belum menerima maklum balas daripada Israel berhubung alasan tenteranya memintas dan menahan peserta GSF.
"Pasukan GSF dan SNCC menjangkakan proses negosiasi melalui pihak ketiga bagi pembebaan tahanan akan diadakan dengan Israel dalam masa terdekat," katanya.
- BERNAMA