ad

Malaysia zahir simpati, sedia hulur bantuan susulan gempa bumi di Cebu

2 Okt 2025, 12:43 AM
Malaysia zahir simpati, sedia hulur bantuan susulan gempa bumi di Cebu

SHAH ALAM, 2 OKT: Malaysia bersimpati dan merakam ucapan takziah kepada kerajaan serta rakyat Filipina susulan gempa bumi kuat yang melanda Cebu dan kawasan sekitar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut bersedih bersama rakyat Filipina atas kehilangan nyawa serta kesusahan ditanggung mangsa.

“Mewakili kerajaan serta rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.

“Doa dan ingatan kami juga bersama mereka yang cedera, hilang tempat tinggal serta semua yang terkesan akibat tragedi ini,” kata beliau menerusi Facebook.

Perdana Menteri berkata Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan bersedia memberi sokongan dalam usaha bantuan serta pemulihan.

“Kami berdoa agar kekuatan dan ketabahan rakyat Filipina akan membantu mereka melalui hari sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada awalnya melaporkan gempa bumi berukuran 6.7 melanda wilayah Cebu pada 9.59 malam waktu tempatan.

Institut itu kemudian menyemak semula magnitud kepada 6.9, dengan menambah gempa berlaku pada kedalaman lima kilometer, kira-kira 19 kilometer timur laut Bogo City, lapor Xinhua.

Gegaran turut dirasai di banyak wilayah berhampiran di kawasan tengah Filipina serta beberapa kawasan di selatan negara itu.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam kejadian gempa bumi itu, dengan angka korban dijangka terus meningkat ketika kerajaan menggerakkan agensi untuk mencari mangsa yang terselamat.