SHAH ALAM, 2 OKT: Istiadat Pernikahan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan pasangannya Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz bermula dengan istiadat perarakan kenderaan istana, pagi ini.
Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diarak bermula di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah sejauh kira-kira 650 meter bagi menyempurnakan istiadat pernikahan di Masjid Istana Diraja.
Tengku Amir Shah, satu-satunya putera tunggal Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Yang Mulia Puan Nur Lisa Idris Abdullah, diputerakan pada 12 Disember 1990 di Hospital Pacific Presbyterian, Amerika Syarikat.
Baginda diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor pada 3 Mei 2002 ketika berusia 11 tahun, dengan istiadat pemasyhuran dan angkat sumpah sebagai Raja Muda Selangor ke-9 berlangsung pada 2016 di Istana Alam Shah, Klang.
Tengku Amir Shah menerima pendidikan awal di Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Wellington College, United Kingdom, dan menamatkan A-Level pada 2009.
Baginda melanjutkan pengajian ke University of Leeds dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar pada 2014, dan memulakan latihan ketenteraan di Akademi Tentera Darat (ATD), Port Dickson pada tahun sama.
Baginda kemudiannya menyambung latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom dan ditauliah sebagai Leftenan Muda dalam Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 2016.
Pada 2017, Tengku Amir Shah dianugerahkan Beret Maroon dan Sayap Penerjun Kehormat yang melayakkan Baginda sebagai anggota pasukan payung terjun elit negara dan dinaikkan pangkat kepada Kapten pada 2020.
Dalam bidang kepimpinan dan kemasyarakatan, Baginda adalah pengasas dan Presiden Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi yang ditubuhkan pada 2017 bertujuan untuk memperkasa belia menerusi program pembangunan diri, keterlibatan sivik dan daya tahan komuniti.
Baginda juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Pengerusi Selangor FC, Life Commodore Royal Selangor Yacht Club serta Penaung Diraja kepada beberapa organisasi termasuk Cheshire Home Selangor, Yayasan Raja Muda Selangor, Invest Selangor, Children’s Protection Society (CPS), Water Air Food Awards (WAFA), dan World Corporate Golf Challenge (WCGC).
Dalam bidang pendidikan tinggi, Tengku Amir Shah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2018, dan kemudian sebagai Canselor Putra Business School pada 2023.
Pada Jun lalu, Baginda diberi penghormatan sebagai Transformational Leadership Fellow oleh University of Oxford, menandakan komitmen Tengku Amir Shah terhadap pembelajaran berterusan dan pembangunan kepimpinan global.
Di luar tugas rasmi, Tengku Amir Shah meminati cabaran fizikal dan pernah menawan Gunung Kinabalu serta Gunung Kilimanjaro, selain kerap menyertai Raja Muda Selangor International Regatta. Baginda turut meminati sukan pelayaran, tenis, padel tenis dan berbasikal.
Tengku Amir Shah sentiasa meluangkan masa menyertai aktiviti kemasyarakatan selain memperlihatkan ciri-ciri pemimpin berjiwa rakyat yang berpegang teguh pada prinsip khidmat, serta komited terhadap masa depan negeri.