SHAH ALAM, 1 OKT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian bekas Panglima Angkatan Tentera Allahyarham Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali.
Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Allahyarham menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1957 dengan menggalas pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1985 dan kemudian sebagai Panglima Angkatan Tentera kesembilan pada 1987.
Allahyarham juga adalah Ahli Dewan Diraja Selangor dari 2002 hingga 2019.
"Atas jasa dan bakti, Allahyarham telah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) pada 1981 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) pada 1989 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
"Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham Mohamed Hashim dicucuri rahmat-Nya," menurut hantaran itu.
Mohamed Hashim menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 11.52 pagi tadi.
Allahyarham merupakan adik kepada Tun Dr Siti Hasmah iaitu isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.