SHAH ALAM, 16 MEI: Pengurangan kuota subsidi menerusi skim BUDI95 kepada golongan berpendapatan rendah (B40) boleh menjejaskan kelangsungan hidup, di sebalik kos sara hidup yang kian meningkat.
Peniaga, Rafi Rahman, 41, berpendapat bantuan kerajaan sewajarnya tertumpu kepada golongan rentan berikutan mereka paling terkesan dan sentiasa berdepan tekanan ekonomi.
“Saya harap kerajaan dapat menjelaskan lebih lanjut bagaimana pengurangan subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) ini boleh memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan B40.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, apa yang kami (golongan B40) ada pun sebenarnya masih tidak mencukupi,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut berharap penjimatan hasil pengurangan subsidi kepada golongan T20 dapat disalurkan semula bagi membantu meringankan beban golongan B40.
Minggu lalu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata Putrajaya sedang meneliti kemungkinan mengurangkan subsidi bahan api untuk golongan berpendapatan tinggi seawal bulan depan susulan peningkatan kos akibat ketidaktentuan harga minyak global.
Beliau berkata langkah ke arah subsidi bersasar diambil selepas kos subsidi kerajaan meningkat mendadak kepada RM6 bilion pada April berbanding RM700 juta sebelum ini, susulan konflik di Iran.
Pesara tentera Ali Marhaban, 70, turut bersetuju subsidi bagi golongan T20 dikurangkan dan bantuan perlu diutamakan kepada golongan B40.

Beliau turut mencadangkan kuota BUDI95 sebanyak 200 liter dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah, manakala kuota lebih rendah dikenakan kepada golongan berada.
Cadangan itu susulan laporan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong yang menyatakan kerajaan sedang mempertimbang untuk mengurangkan kuota bulanan BUDI95 daripada 200 kepada 150 liter, walaupun beliau kemudian menjelaskan kenyataannya disalah tafsir.
“Itu tidak wajar, tak boleh buat begitu. Golongan B40 memang berada dalam keadaan sukar. Untuk B40, kekalkan 200 liter, manakala 150 liter boleh dikenakan kepada golongan lain,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan bahawa kuota 200 liter sudah mencukupi apabila pernah kehabisan kuota sebelum penghujung bulan sehingga terpaksa membeli RON95 tanpa subsidi pada harga penuh.
Seorang kerani, Wanie Rusmi, 29, turut bersetuju dengan cadangan mengurangkan subsidi kepada golongan T20 supaya bantuan dapat disasarkan secara lebih adil, namun bimbang jika pengurangan dilakukan secara menyeluruh.
“Harga minyak tanpa subsidi sekarang memang mahal. Kalau harga minyak naik, perbelanjaan harian pun akan meningkat. Saya rasa itu tidak sesuai,” katanya sambil menambah kenaikan harga bahan api kini semakin membebankan fikirannya.








