SEPANG, 30 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan memulakan bantahan keras sekiranya kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dipintas atau dirampas oleh Israel.
Beliau berkata selain itu, usaha diplomatik dengan pelbagai negara termasuk kuasa besar dunia turut akan digerakkan.
"Kita akan memulakan bantahan yang keras serta menyeluruh dan saya akan sedaya upaya menghubungi semua pihak termasuk negara-negara yang telah mengemukakan usul (perdamaian), khususnya Itali, Sepanyol dan Turkiye, serta dengan dukungan dari China.
"Kita juga lihat keupayaan dan ikhtiar yang dikemukakan oleh Perancis dan Arab Saudi, yang turut kita hubungi kerana mereka mahu usulkan (cadangan) perdamaian," kata beliau.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan menjalin hubungan rapat dengan negara Barat, Arab dan kuasa besar lain termasuk Amerika Syarikat bagi memastikan suara rakyat Palestin didengari pada peringkat antarabangsa.
"Hubungan dengan negara Barat, Arab dan rantau (ini) penting termasuk Amerika Syarikat.
"Saya harap rakan-rakan kita di medan juang tidak sama dengan celoteh-celoteh di sini, (kerana) mereka faham makna rundingan dan desakan supaya pimpinan dunia, khususnya Amerika Syarikat menerima kenyataan serta tuntutan masyarakat dunia," kata beliau.
Anwar berkata beliau berharap pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti akan mencapai penyelesaian yang berkesan untuk menghentikan konflik di Gaza.
Beliau berkata meskipun penyelesaian itu mungkin tidak memenuhi kepuasan semua pihak, tuntutan asas Malaysia tetap jelas, iaitu penghentian segera serangan ganas terhadap Gaza.
"Yang kita minta terlebih dahulu ialah hentikan serangan ganas terhadap Gaza, Palestin, jamin kemerdekaan mereka sebagai negara berdaulat dan seterusnya segerakan bantuan kemanusiaan serta perubatan ke Palestin, khususnya Gaza," kata beliau.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang merupakan sebahagian aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap wilayah itu.
Flotila berkenaan sebelum ini berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi berkenaan menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA