SHAH ALAM, 29 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan polis hanya menutup Jalan Istana, Klang sempena Istiadat Perarakan Pernikahan Diraja, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, pada 2 Oktober ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah jalan tersebut ditutup dari jam 8 pagi sehingga 10 pagi, iaitu lokasi perarakan dari hadapan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz sehingga ke pagar utama Istana Alam Shah.
“Baginda amat prihatin dan tidak berkenan sekiranya terlalu banyak jalan ditutup yang boleh mengganggu urusan harian rakyat jelata khususnya penduduk di sekitar bandar raya Klang.
“Baginda mahu rakyat dapat menyaksikan istiadat perarakan yang julung-julung kali diadakan ini dalam keadaan yang selesa dan aman,” menurut kenyataan Istana Alam Shah.
Tengku Amir Shah bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz pada 2 Oktober ini. lstiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid lstana Diraja, lstana Alam Shah di Klang.
lstiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan lstiadat Perkahwinan Diraja akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, lstana Alam Shah pada 22 Oktober ini.