ad

Pekerja terkandas 40 meter atas menara telekomunikasi akibat serangan tebuan

29 Sep 2025, 12:48 PM
Pekerja terkandas 40 meter atas menara telekomunikasi akibat serangan tebuan

BATU KAWAN, 29 SEPT: Seorang pekerja penyelenggaraan terkandas pada ketinggian 40 meter menara telekomunikasi sebuah syarikat di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini, disebabkan ancaman tebuan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.10 tengah hari.

Insiden melibatkan warga Pakistan dikenali sebagai Muhammad Talha, 29, terkandas di platform empat menara itu.

“Lelaki tersebut tidak dapat turun kerana terdapat sarang tebuan berdiameter 25 sentimeter dengan tebuan sedang berkeliaran pada platform satu yang berketinggian 10 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bomba telah menaikkan dan memberi baju kalis serangga JBPM kepada mangsa melalui tali keselamatan yang telah dipasang pihak penyelenggara dan mangsa berjaya turun dengan selamat.

- BERNAMA