KUANTAN, 29 SEPT: Petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini yang dilaporkan terjatuh bot sebelum dihanyutkan arus sungai di Kampung Kedaik, Rompin semalam, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata Saharudin Harun, 44, ditemukan orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.25 pagi.
“Mangsa dijumpai lengkap berpakaian kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata SAR ditamatkan pada 12 tengah hari dan mayat dihantar ke Hospital Rompin.
Operasi melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bermula selepas laporan kehilangan mangsa diterima 10.20 pagi semalam.
Saharudin dan seorang rakan dilaporkan memancing di kawasan itu, namun mangsa yang duduk di bahagian depan bot terjatuh dan dihanyutkan arus selepas kipas bot itu tersangkut pada pukat ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah rakit.
- BERNAMA