KLANG, 29 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor (DYTM) Tengku Amir Shah berkenan meninjau raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda di sini hari ini.
Baginda yang tiba di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz pada jam 8.45 pagi turut berkenan menyertai raptai perarakan tersebut.
Perarakan sejauh kira-kira 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah itu diiringi Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor.
Tengku Amir Shah diarak dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 pada jam 9.05 pagi sebelum sesi diteruskan di Istana Alam Shah bagi raptai istiadat pernikahan, yang dibuat secara tertutup.
Sesi hari ini menyaksikan pelepasan dua das tembakan meriam dan difahamkan pada hari kejadian, 11 das tembakan akan dilepaskan sebagai simbolik menandakan selesainya istiadat pernikahan.
Turut hadir meninjau persiapan hari ini ialah Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang Datuk Abd Hamid Hussain.
Isnin lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan memaklumkan putera baginda Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz 2 Oktober ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani, istiadat pernikahan itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Mohamad Munir berkata Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober.
- BERNAMA