ad

Jalani ujian saringan awal, elak penyakit lebih serius, kos rawatan tinggi

28 Sep 2025, 11:39 AM
Jalani ujian saringan awal, elak penyakit lebih serius, kos rawatan tinggi
Jalani ujian saringan awal, elak penyakit lebih serius, kos rawatan tinggi
Jalani ujian saringan awal, elak penyakit lebih serius, kos rawatan tinggi

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan orang ramai supaya cakna mengenai kepentingan menjalani ujian saringan kesihatan awal, sebagai antara langkah mengawal sesuatu penyakit daripada menjadi lebih kronik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain mencegah penyakit pada peringkat awal, langkah itu juga dapat mengelak orang ramai daripada terkesan dengan beban kewangan atau kos rawatan yang tinggi, apabila sesuatu penyakit telah memasuki tahap serius seperti kanser.

“Untuk makluman, rata-rata pesakit yang hadir akan terkejut apabila dimaklumkan menghidapi kanser pada tahap tiga dan empat, sekali gus mengurangkan potensi mereka untuk sembuh dan bebas daripada kanser.

“Bayangkan seorang daripada ahli keluarga menghidap penyakit kronik, keluarga berkenaan turut menerima tempias apabila berdepan masalah kewangan, kerana kos rawatan membabitkan penyakit ini agak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bald and Beautiful Day 2025 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat, merupakan antara penyakit yang paling banyak dikesan selepas pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata program saringan kesihatan berskala besar yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan badan bukan kerajaan (NGO), merupakan antara inisiatif yang dilakukan pihaknya dalam menggalakkan orang ramai melakukan ujian saringan kesihatan awal.

Dzulkefly berkata KKM juga melaksanakan inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), dengan menyasarkan lebih satu juta penduduk di Malaysia tampil ke hospital atau klinik bagi membuat ujian pengesanan awal.

Beliau berkata KKM juga akan melaksanakan program kesedaran dengan lebih agresif, sebagai langkah untuk “membuka mata” masyarakat bahawa penyakit kronik termasuk kanser, mampu diubati sekiranya dapat dikesan lebih awal.

“Saya tekankan saringan sangat mustahak, KKM sendiri sudah melakukan banyak program NHSI yang juga antara fokus di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),” katanya.

Terdahulu, program Bald and Beautiful Day 2025 yang berlangsung di Galeri Jualan Elmina Lakeside Mall merupakan satu inisiatif oleh pelbagai NGO dan yayasan berkaitan kanser, bagi mengumpulkan dana.

Pada program itu, Dzulkefly menjadi antara 267 daripada 4,000 peserta yang berani menzahirkan komitmen menyokong perjuangan para pesakit kanser, dengan cara membotakkan kepala secara sukarela beramai-ramai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.