“Maaf, anda disahkan menghidap barah tahap empat.”
Ia kata-kata yang mampu meranapkan semangat. Kelu, sugul dan berkecamuk seolah-olah putus harapan pantas menerpa dan merobek emosi.
Umumnya, segelintir masyarakat mengabaikan beberapa gejala tidak normal yang dirasai badan dan menganggap ia gangguan sementara. Sikap itu sebenarnya membuka ruang kepada penyakit untuk merebak lebih teruk dan akhirnya menyukarkan usaha memulihkan kesihatan.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr David Lee Dai Wee berkata banyak barah tidak menunjukkan tanda jelas pada peringkat awal. Di Malaysia, lebih 60 peratus kes dikesan pada peringkat III atau IV, menunjukkan ramai pesakit datang lewat untuk pemeriksaan.

“Sel barah boleh membesar secara perlahan atau tanpa gejala sehingga ia mencapai tahap yang lebih agresif dan mula menyebar (metastasis). Oleh itu, ramai pesakit hanya mendapatkan pemeriksaan apabila simptom menjadi serius atau mengganggu kualiti hidup,” katanya kepada Media Selangor.
Antara gejala awal yang sering dianggap biasa seperti keletihan, perubahan berat badan, berasa tidak selesa atau menganggap perubahan tabiat usus sebagai masalah kecil, tekanan atau faktor usia.

Keadaan itu menyebabkan ramai individu mengambil ringan gejala awal dan lewat berjumpa doktor, terutama tanda tersebut tidak menyakitkan pada awalnya.
Lewat jalani saringan
Pengabaian tanda awal, akses pusat kesihatan dan pakar yang terhad khususnya di luar bandar selain faktor sosioekonomi seperti kos, masa dan komitmen kehidupan menyumbang kepada kelewatan pesakit untuk tampil menjalani saringan.
Perasaan takut menjalani prosedur pemeriksaan dan rawatan seperti kemoterapi, pembedahan atau radioterapi juga halangan psikologi di samping amalan gaya hidup kurang sihat yang menjadi ‘pembunuh senyap’ tanpa pesakit sedar.
Lebih membimbangkan, ada pesakit memilih menunggu, berharap gejala hilang sendiri atau mengamalkan rawatan alternatif.

“Meski tiada bukti langsung bahawa tekanan kerja ‘membunuh’ secara langsung, kurangnya masa untuk penjagaan kesihatan sendiri menjadi faktor kelewatan keputusan pemeriksaan. Penekanan kepada informasi tepat dan sokongan emosi boleh membantu mengurangkan ketakutan,” jelas beliau lagi.
Penentuan penyakit lebih awal memberi lebih banyak peluang rawatan lebih berkesan dan kadar kebarangkalian meneruskan hidup seperti sebelumnya meningkat dua hingga lima kali ganda lebih tinggi.
Walaupun barah dikategori penyakit berisiko tinggi selain jantung, kencing manis, angin ahmar dan darah tinggi, kesedaran masyarakat untuk menjalani pemeriksaan awal kian meningkat serta menunjukkan perkembangan positif.
Beliau berkata kekurangan di beberapa peringkat boleh diperbaiki dari semasa ke semasa supaya masyarakat lebih cakna dan mendapatkan maklumat tepat mengenai bahaya barah.
“Dengan adanya inisiatif saringan bersubsidi, dan juga kadangkala ditawarkan percuma (seperti saringan HPV), tumpuan adalah untuk memudahkan perjalanan pesakit agar setiap lapisan masyarakat mendapat peluang pengesanan awal yang sama rata.”
Sejak 2022, Kerajaan Negeri memperkenal Selangor Saring, program pemeriksaan kesihatan percuma di seluruh Dewan Undangan Negeri. Inisiatif melalui dana RM2.5 juta bagi meningkatkan kesedaran sekali gus mengurangkan risiko penyakit serius.
Sempena Hari Barah Sedunia pada 4 Februari, Dr David Lee menasihati masyarakat supaya menjalani saringan awal dan pemeriksaan berkala setiap tahun terutama yang berusia 40 tahun ke atas atau berisiko tinggi. Kesedaran awal boleh menyelamatkan nyawa.


