ad

Cabaran, ujian berdepan pesakit barah cilik

28 Sep 2025, 1:00 AM
Cabaran, ujian berdepan pesakit barah cilik

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Derita barah bukan sahaja ditanggung tubuh kecil pesakit, malah turut dirasai keluarga yang setia menjaga mereka.

Suri rumah, Normusazliza Musthafar, 49, yang menjaga anaknya sejak 2020 mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk perbezaan pendapat dengan suami, anak enggan rawatan serta isu pemakanan.

"Setiap kali pergi rawatan, sambung kemoterapi dia akan cakap kepada ayah dia, beritahu mama tolonglah buat surat tangguh. Tak mahu kemoterapi. Sakit. Saya kata, tak ada pergi. Kena pergi.

“Saya dapat rasa memang dia tak suka saya (ketika itu). Tapi, pada masa itu walaupun dia tak suka saya, saya kena keraskan hati untuk berada dengan dia sepanjang masa.

Temu bual pesakit barah kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur pada 17 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Kalau tanya siapa-siapa yang ada pengalaman jaga anak-anak yang sedang kemoterapi memang cabaran sangat kuat. Dia boleh tak nak makan langsung, sedangkan dia perlu makan untuk dapatkan balik tenaga," katanya kepada Media Selangor.

Baru berusia 11 tahun, Zaharin (bukan nama sebenar) disahkan leukemia Ogos lalu. Berkongsi pengalaman, dia berkata kesan sampingan kemoterapi termasuk rasa panas, pening, loya dan rambut gugur.

"Kalau masuk ubat kemoterapi itu, dia akan rasa panas di dalam. Jadi doktor cakap kena minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari bagi mengelak demam.

"Saya rasa terima saja walaupun sakit tapi adalah kesan-kesan dia. Maksudnya memang sakit tapi dah makin pulih. Kalau tak ambil rawatan nanti akan sakit sampai bila-bila," katanya yang menerima rawatan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani,Hospital Pakar Kanak-kanak UKM.

Bapanya, Zain (bukan nama sebenar) berkata walaupun sukar menerima pada awalnya, beliau memilih untuk menyerahkan rawatan kepada pakar.

"Macam mimpi. Sebab kita bawa dia sihat. Bila diberitahu dalam dua hari juga nak terima itu. Tapi rawatan di hospital memang cepat," katanya.

Bagi pesakit leukemia berusia lapan tahun, Afiqah (bukan nama sebenar), tiada lain yang dia mahu selain segera melengkapkan rawatan dan pulang ke rumah di Pantai Timur.

Temu bual pesakit barah kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur pada 17 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bapanya, Fizul (bukan nama sebenar), berkata walaupun berdepan kekangan kewangan dan logistik, itu bukan alasan menangguh rawatan.

"Anak saya pada mulanya mengadu sakit di bawah tulang rusuk saja. Selepas itu ujian mendapati leukemia. Saya bekerja di kampung dan gaji hari. Tak ada kerja, tak ada gaji. Ada kerja, ada gaji. Tapi anak dulu penting. Kita ikhtiar macam mana pun.

"Duit tak apa. Kita boleh cari nanti. Rawatan anak itu yang paling penting. Sebelum itu jadi apa-apa, lebih teruk, lebih parah lagi," katanya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona), Saharom Mohd Adas berkata sejak 2018, pertubuhan itu membantu sekitar 500 kanak-kanak pesakit barah.

"Antara bentuk bantuan disediakan termasuklah menampung kos rawatan, pengangkutan, kos perjalanan, keperluan seperti kerusi roda, katil pesakit selain pelbagai aktiviti bagi menceriakan anak-anak barah seperti lawatan dan sebagainya.

"Pada masyarakat di luar sana, saya harap walaupun tak boleh membantu secara terus, mungkin boleh membantu secara tidak langsung dengan menyumbang. Ahli kita ada yang anak ada barah, ada juga lagi satu sayap untuk mereka yang mahu menderma bagi membantu kanak-kanak ini," katanya.

September setiap tahun diiktiraf sebagai Bulan Kesedaran Barah Kanak-Kanak Sedunia dengan simbol reben emas.

Ia bertujuan meningkatkan pemahaman awam mengenai cabaran pesakit cilik serta keperluan sokongan berterusan daripada masyarakat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.