ad

Premis makanan ditutup, najis tikus ditemui

28 Sep 2025, 9:49 AM
Premis makanan ditutup, najis tikus ditemui
Premis makanan ditutup, najis tikus ditemui

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Sebuah premis makanan di Bukit Beruntung di sini diarah tutup selepas Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menemui najis serta kencing tikus ketika pemeriksaan dijalankan 25 September lalu.

MPHS dalam kenyataan berkata operasi berkenaan turut mendapati dapur premis terbabit kotor, selain pengendalian makanan yang tidak menepati piawaian.

“Tandas mereka juga tidak memenuhi standard kebersihan ditetapkan. Tiada sabun, tisu dan penyelenggaraan jelas tidak dilakukan dengan baik,” katanya menerusi Facebook.

Susulan itu, lapan kompaun berjumlah RM18,750 dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Premis Makanan 2007, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan 2007 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Premis terbabit hanya dibenarkan beroperasi semula selepas melaksanakan langkah penambahbaikan serta mematuhi piawaian kebersihan ditetapkan.

MPHS menegaskan tahap kebersihan premis makanan perlu diberi perhatian serius bagi melindungi kesihatan rakyat dan menyeru orang ramai menyalurkan aduan melalui Sistem Aduan Dalam Talian MPHS.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.