ad

EXCO: Negeri perlu berganding bahu kurangkan import makanan

28 Sep 2025, 2:13 AM
EXCO: Negeri perlu berganding bahu kurangkan import makanan
EXCO: Negeri perlu berganding bahu kurangkan import makanan
EXCO: Negeri perlu berganding bahu kurangkan import makanan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Semua negeri perlu berganding bahu di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam merangka mekanisme baharu yang mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan import, kata EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim.

Beliau berkata Selangor yang sebelum ini dilihat sebagai antara negeri yang mendominasi sektor asas tani negara tidak mampu untuk menyediakan bekalan yang mencukupi tanpa kerjasama negeri lain yang mempunyai sumber pelbagai.

“Amat sukar untuk kami penuhi keperluan sembilan juta rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur secara bersendirian, tetapi kita boleh bantu melengkapkan rantaian makanan di peringkat nasional menerusi aspek pemodenan dan pertanian bernilai tinggi.

“Sekiranya setiap negeri memainkan peranan termasuk mempunyai kerangka kerja yang mampan, bekalan makanan di seluruh negara akan lebih terjamin dan kadar import boleh dikurangkan,” katanya pada sidang media di Dataran Karnival Perkarangan Stadium Seksyen 13 di sini semalam.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Selangor Agro Fest di Tapak Karnival Seksyen 13, Shah Alam pada 27 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mengakui setiap negeri mempunyai cabaran tersendiri terutamanya membabitkan kawasan bandar yang memerlukan kos tinggi serta isu berkaitan tanah bagi menghasilkan bekalan makanan dalam negeri atau tahap sara diri (SSL).

Izham turut mencadangkan supaya negeri lain memberikan fokus kepada aspek pemodenan yang bernilai tinggi dan berkemampuan untuk menggandakan jumlah bekalan makanan menggunakan kaedah konvensional.

“Kalau kita fokus kepada pertanian bernilai tinggi, kawasan yang kecil juga dapat mengeluarkan hasil yang tinggi seperti pertanian moden (hidroponik) yang mampu mengeluarkan hasil tiga kali ganda berbanding di tanah. Perkara ini perlu dijadikan disiplin membabitkan teknologi yang ada.

“Teknologi pengeluaran, pembenihan, pembakaan, pemasaran dan penyimpanan perlu diberikan perhatian dan diperkemaskan lagi. Banyak kos dapat dikurangkan contohnya kos mengimport sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencecah RM7.5 bilion sedangkan kita sendiri mampu menghasilkannya,” katanya.

Terdahulu, Izham melancarkan Selangor Agrofest (SAF) 2025 yang menghimpunkan 160 reruai pertanian dan agromakanan dengan menyasarkan potensi transaksi jualan berjumlah RM500,000 sepanjang empat hari penganjuran.

Acara itu juga bakal menyaksikan 10 usahawan tani dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2024/2025, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.