SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor membuka 11 kaunter khas bagi mempercepat proses pembaharuan MyKad, dengan 99 peratus permohonan disiapkan pada hari sama.
Pengarahnya, Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata inisiatif itu susulan peningkatan mendadak permohonan, khususnya membabitkan masalah cip rosak.
“Hari ini kami buka kaunter khas untuk urusan MyKad sahaja, termasuk saringan cip bagi memastikan proses berjalan lancar dan sistematik,” katanya ketika ditemui Media Selangor di sini, hari ini.
Menurutnya, pencetakan segera MyKad baharu dilaksanakan di JPN Shah Alam, Klang, UTC dan Petaling Jaya, manakala masa siap bergantung tahap kesesakan pejabat.
Beliau menegaskan langkah membuka kaunter tambahan adalah antara usaha menyokong dasar kerajaan supaya rakyat mudah mendapatkan dokumen sah untuk menikmati subsidi petrol BUDI95 yang bermula 30 September ini.
Pada 22 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan, kemudahan diberikan secara percuma di semua kaunter JPN bermula 23 September hingga 7 Oktober ini.
Langkah itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan inisiatif BUDI95.