SHAH ALAM, 27 SEPT: Sebanyak 13,632 MyKad yang mengalami kerosakan cip berjaya diganti dalam tempoh lima hari di seluruh negara susulan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu jauh melebihi purata harian sebelum ini, sekali gus menunjukkan kepekaan masyarakat terhadap kepentingan memiliki kad pengenalan sah untuk melayakkan mereka menerima manfaat BUDI95, katanya kepada Berita Harian.
“Biasanya purata sehari hanya sekitar 1,000 MyKad diganti. Sepatutnya dalam lima hari hanya 5,000 sahaja, tetapi kini mencecah 13,632 MyKad.
“Kalau mereka tidak sedar cip rosak, tiba-tiba MyKad tak boleh guna, pasti akan marah dahulu, harga RM1.99 seliter itu dia lupa,” katanya selepas meninjau pelaksanaan BUDI95, hari ini.
Beliau turut berpuas hati dengan kelancaran hari pertama program berkenaan. Katanya, kerajaan akan menilai semula corak penggunaan bahan api dalam tempoh dua hingga empat bulan selepas pelaksanaan bagi mengenal pasti kawasan berkeperluan tinggi.
“Ada yang tanya sama ada jumlah 300 liter itu munasabah. Nilai ini diperoleh hasil data Jabatan Statistik dan Kementerian Kewangan, bukan sewenang-wenangnya.
“Selepas dua hingga empat bulan, kita boleh lihat corak data, sama ada di Sabah, Sarawak, Jeli, Gua Musang, Ipoh atau kawasan lain yang penggunaan minyak lebih tinggi,” katanya.