ad

Seorang ditemukan lemas, tiga lagi masih hilang

27 Sep 2025, 8:19 AM
Seorang ditemukan lemas, tiga lagi masih hilang

BETONG, 27 SEPT: Seorang daripada empat lelaki yang hilang selepas sampan yang membawa 10 penumpang karam ketika menyeberangi Sungai Krian berhampiran Feri Kaba, Saratok, semalam ditemukan lemas hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata warga tempatan berusia 25 tahun itu, yang merupakan jurumudi sampan ditemukan kira-kira 91.44 meter dari pengkalan feri oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 9.37 pagi.

“Tiga lagi masih hilang dan semua mereka adalah pekerja warga Indonesia,” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 6.13 petang semalam sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi sejauh 56 kilometer.

Menurut jurucakap itu kesemua 10 mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat yang sedang dalam perjalanan pulang dari tapak kerja di Jeti Sesang menuju ke Jeti Pusa.

“Sampan dinaiki karam di tengah sungai dan enam mangsa warga Indonesia berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebuah tongkang berhampiran sebelum diselamatkan bot lain, manakala empat lagi gagal ditemui,” katanya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula 7.40 pagi tadi dengan pembukaan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tebingan Feri Kaba serta taklimat bersama agensi berkaitan dan penduduk kampung.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.