ad

Tiga mangsa sampan karam di Sungai Krian ditemukan lemas

28 Sep 2025, 8:17 AM
Tiga mangsa sampan karam di Sungai Krian ditemukan lemas

BETONG, 28 SEPT: Kesemua baki tiga mangsa yang hilang dalam insiden sampan karam di Sungai Krian berhampiran dengan Feri Kaba, Saratok Jumaat lalu, ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata operasi hari ini bermula 8 pagi dengan penglibatan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bersama Unit Anjing K9 JBPM negeri serta agensi keselamatan lain.

“Kira-kira 10.10 pagi, mangsa kedua dijumpai penduduk kampung, sebelum pasukan SAR menemukan dua lagi mangsa pada 10.15 pagi dan 10.45 pagi.

“Kesemua mangsa telah dikenal pasti. Dengan penemuan ini, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.10 pagi selepas perbincangan bersama dengan semua agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 5.30 petang Jumaat, sampan yang membawa 10 pekerja pembinaan karam ketika menyeberangi sungai dari Jeti Sessang menuju ke Jeti Pusa.

Enam mangsa yang merupakan warga Indonesia berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang. Seorang daripada empat mangsa lelaki yang hilang itu dijumpai semalam.

Operasi SAR disertai tujuh anggota BBP Saratok bersama-sama satu pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat, dibantu Unit K9 JBPM dengan kekuatan dua pegawai dan seekor anjing pengesan.

Agensi lain yang turut membantu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Saratok, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Saratok dan penduduk kampung yang mengerahkan sembilan bot dengan 36 orang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.