SARATOK, 27 SEPT: Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Indonesia dilaporkan hilang selepas bot yang membawa 10 pekerja karam ketika menyeberangi Sungai Krian dari Jeti Sesang ke Jeti Pusa di sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian 5.30 petang itu, enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai manakala empat lagi masih belum dijumpai.
Mangsa tempatan yang hilang dikenali sebagai Mohd Asfar Sulaiman, 25, manakala tiga lagi ialah warga Indonesia iaitu Gunawan Pawadi, 35; Budianto Yapani, 50; dan Karyono, 41.
Enam warga Indonesia yang terselamat ialah Sandi Putra, 26; Amirul, 20; Tadin, 50; Diki Sanjaya, 22; Dwi Moko, 39; dan Krisna, 37.
PGO JBPM memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 6.13 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dengan empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 56 kilometer.
“Setibanya di lokasi pada 7.10 malam, pasukan operasi mendapatkan maklumat daripada mangsa yang selamat dan pihak syarikat. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dilancarkan pagi ini atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.
- BERNAMA