ad

ATM: BUDI95 tanda prihatin kerajaan terhadap anggota beruniform

27 Sep 2025, 7:00 AM
ATM: BUDI95 tanda prihatin kerajaan terhadap anggota beruniform

PORT DICKSON, 27 SEPT: Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyifatkan pemberian subsidi BUDI MADANI RON 95(BUDI95) sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat termasuk anggota keselamatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata insentif tersebut bukan sahaja dapat meringankan kos sara hidup malah merupakan pengiktirafan kepada pengorbanan anggota keselamatan yang sentiasa berkhidmat menjaga keamanan dan kestabilan negara.

“Kami amat berbesar hati serta berterima kasih kepada kerajaan dengan inisiatif ini dan berharap usaha ini dapat diteruskan demi kesejahteraan pasukan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di sini hari ini.

Beliau berharap kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan anggota keselamatan supaya mereka lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan tanah air.

Inisiatif BUDI95 mula dilaksanakan tengah malam tadi, dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter berbanding pasaran semasa RM2.05 seliter.

Pegawai Tentera Lt Kol Muhammad Afifi Azham Mohd, 36, berkata pemberian subsidi kepada anggota keselamatan sebagai penerima awal adalah satu pengiktirafan kepada barisan hadapan negara.

"Pemberian insentif tersebut yang dianggap sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Terima kasih atas usaha murni kerajaan yang jelas menunjukkan keprihatinan terhadap denyut nadi rakyat," katanya.

Pegawai Waran 1 Mohamad Salleh Kosnon, 41, berkata langkah ini dapat membantunya mengurangkan perbelanjaan petrol kerana perlu berulang-alik setiap hujung minggu untuk bertemu keluarga di Kluang, Johor.

Beliau yang bertugas di Kem 93 Upkat, Port Dickson daripada Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja itu berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.