SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meneruskan lawatan kerja ke Shenzhen, China dengan menumpukan kerjasama tenaga dan automotif bersama pemain industri.
Pada sebelah pagi, beliau dijadual melawat penanda aras di Loji Tenaga Nuklear Daya Bay, selain menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman Program Latihan Tenaga Nuklear CGN–STDC.
Delegasi kemudian bakal mengadakan lawatan penanda aras ke ibu pejabat ChinaFix dan pusat baik pulih Tesla ChinaFix bagi meninjau keupayaan penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV).
Lawatan disusuli perjajian persefahaman antara ChinaFix, APR dan STDC, bagi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menumpukan pembaikan dan pembaharuan peranti elektronik.
Ia termasuk peranti pintar, komputer, peranti elektronik automotif dan EV bagi melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri teknologi semasa.
Amirudin berada di China bagi misi perdagangan dan pelaburan untuk meneroka potensi kerjasama dengan beberapa pemain industri utama mulai 23 sehingga 30 September.
Lawatan turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.
Turut bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.