ad

FIFA denda FAM kemuka dokumen palsu, tujuh pemain warisan digantung

26 Sep 2025, 3:30 PM
FIFA denda FAM kemuka dokumen palsu, tujuh pemain warisan digantung

KUALA LUMPUR, 26 SEP: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tataterbit Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan FIFA hari ini, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Susulan perlawanan itu, FIFA menerima aduan rasmi berhubung status kelayakan beberapa pemain terbabit.

Pemain-pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut. FAM dan pemain-pemain berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini dan hukuman berkenaan masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Sebagai rekod, dalam perlawanan menentang Vietnam yang dimenangi 4-0 oleh Malaysia, sembilan daripada 11 pemain utama Harimau Malaya adalah pemain naturalisasi, dengan lima daripadanya — Figueiredo, Holgado, Irazabal, Garces dan Machuca — hanya menerima kelulusan FIFA beberapa jam sebelum perlawanan bermula.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.