SHAH ALAM, 26 SEPT: Polis Selangor menahan 580 individu berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun termasuk 28 wanita dalam operasi khas banteras dadah sepanjang tiga hari sejak 22 September lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Shazali Kahar berkata operasi itu melibatkan 450 serbuan di lokasi panas sekitar negeri ini iaitu di kawasan ladang, jeti dan Projek Perumahan Rakyat.
"Selain itu, sebanyak 646.3 gram (g) dan 2,315.3 liter dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM35,081 berjaya dirampas.
"Ia membabitkan heroin seberat 193.58g, ganja (232.48g), ketamin (1g), pil yaba (1.35g), pil erimin 5 (4.98g), serbuk ekstasi (65g) dan air ketum (2,315.3 liter)," katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, pihak polis turut menyita tiga kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah, selain menahan 32 individu dikehendaki.
“Operasi ini bertujuan mengesan dan menahan pengedar serta penagih dadah, di samping menurunkan kadar jenayah di Selangor.
“Ia juga meningkatkan kadar pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap penagih berulang,” katanya.