Empat ditahan dalam serbuan di Subang berkait rampasan 521kg dadah

7 Okt 2026, 2:13 PM
Empat ditahan dalam serbuan di Subang berkait rampasan 521kg dadah

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan telah menyerbu sebuah hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hari ini, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah di Laos pada minggu lepas.

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata operasi khas itu dijalankan bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (AVSEC) dan Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO).

“Saya sahkan memang ada serbuan dan tangkapan, (operasi) ini dibuat secara bersama... kami buat perancangan sejak semalam lagi dan operasi yang bermula 12 tengah hari tadi telah pun selesai,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, sebanyak empat individu ditahan ketika sedang membuat persiapan penerbangan dan mereka telah diserahkan kepada pihak JSJN Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Nik Ezanee bagaimanapun enggan mendedahkan butiran operasi dan peribadi kesemua suspek, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada JSJN Bukit Aman untuk mengulas mengenai hasil tangkapan itu.

Pada 1 Okt lepas, polis Laos merampas 521kg crystal methamphetamine di dalam sebuah jet persendirian Learjet, yang tiba dari Subang.

Susulan kejadian itu, sebanyak 13 individu termasuk warganegara Malaysia, Singapura dan Filipina ditahan oleh pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.