KLANG, 25 SEPT: Kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat bagi menangani cabaran urbanisasi dan pencemaran yang kian meruncing, kata Timbalan Datuk Bandar Klang.
Mohd Zary Effendi Mohd Arif berkata kesihatan persekitaran seperti kebersihan udara, kualiti air dan kawalan pencemaran yang baik memberi kesan langsung kepada tahap kesihatan serta kualiti hidup individu sekali gus dapat mengurangkan kadar penyakit berjangkit.
“Dalam era pembangunan pesat hari ini, kita berdepan pelbagai cabaran besar yang menjejaskan kesihatan persekitaran termasuk urbanisasi dan pembangunan tidak terkawal, pembuangan sampah dan sisa plastik.
“Selain itu, isu perubahan iklim turut memberi kesan kepada peningkatan suhu, banjir kilat, jerebu sekali gus meningkatkan risiko penyakit,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Hari Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.
Mohd Zary Effendi menambah, semua pihak termasuk komuniti setempat, sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan perlu berganding bahu bagi memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penduduk agar memastikan kawasan kediaman masing-masing bebas dari pembiakan nyamuk aedes dan mengamalkan prinsip 3R (kurangkan pembuangan sisa, guna semula dan kitar semula) dalam kehidupan harian.
Hari Kesihatan Persekitaran MBDK yang dianjurkan sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia yang disambut pada 26 September setiap tahun itu turut dimeriahkan dengan forum kesihatan, pameran interaktif, ceramah kesedaran awam serta eksplorasi warisan bebas denggi.