ad

Penganggur didakwa simpan seekor beruk tanpa lesen

25 Sep 2025, 7:44 AM
Penganggur didakwa simpan seekor beruk tanpa lesen

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan seekor beruk spesies Macaca nemestrina tanpa lesen di rumahnya, Julai lalu.

Mukarab Khan Guldad, 51, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa menyimpan haiwan itu, yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010, tanpa lesen di rumahnya di PPR Kampung Batu Muda, Batu 5, Jalan Ipoh di sini pada 3.30 petang 2 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan OKS boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Zulkifli Awang memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan ikat jamin kerana beliau akan memfailkan representasi.

Perkara itu tidak dibantah oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Suhainariddah Abd Rashid dan mahkamah yang membenarkan permohonan tersebut, menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.