ad

Imigresen serbu premis perumahan di Pulau Indah, tahan 662 warga asing

25 Sep 2025, 4:36 AM
Imigresen serbu premis perumahan di Pulau Indah, tahan 662 warga asing

KLANG, 25 SEPT: Seramai 662 warga asing yang menghuni premis perumahan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen (JIM) Selangor, lewat malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 1,132 warga asing yang diperiksa dalam operasi bermula pada 9.30 malam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, warga Bangladesh paling ramai ditahan iaitu 545 orang diikuti Myanmar (36), Pakistan (35), Nepal (24), India (10) dan Indonesia (sembilan orang) kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Rata-rata yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(C) akta sama kerana tidak memiliki pas atau dokumen sah dan melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua tahanan berusia antara 16 hingga 80 tahun ini dibawa ke Ibu Pejabat JIM Selangor untuk semakan lanjut sebelum dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih," katanya dalam sidang media sejurus operasi berakhir.

Khairrul Aminus juga berkata operasi sedemikian dilaksana secara berterusan bagi mengesan, menangkap dan mengusir mana-mana warga asing yang melanggar peraturan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata operasi itu turut menggempur sebuah kediaman di tingkat tiga di kawasan sama yang disyaki dijadikan lokasi menjalankan aktiviti persundalan membabitkan warga asing.

Khairrul Aminus berkata premis itu, yang dilengkapi kamera litar tertutup, bagaimanapun didapati kosong dan dipercayai mereka yang terlibat telah menghidu kehadiran pihak penguat kuasa.

Terdahulu, operasi bersepadu itu turut disertai JIM Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan selain Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman dan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am.

Turut terlibat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, MBDK turut memeriksa premis perniagaan dan mengenakan tindakan sitaan terhadap lapan kedai runcit serta restoran.

Sitaan itu melibatkan dua premis di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian, empat di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan diikuti dua lagi premis melibatkan Seksyen 46(1)(d) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 kerana menghalang laluan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.