ad

Naik taraf longkang Jalan Maxwell siap November, selesai masalah banjir

24 Sep 2025, 8:19 AM
Naik taraf longkang Jalan Maxwell siap November, selesai masalah banjir
Naik taraf longkang Jalan Maxwell siap November, selesai masalah banjir

RAWANG, 24 SEPT: Kawasan Jalan Maxwell pekan Rawang yang rendah dan sering dilanda banjir kilat akhirnya mendapat perhatian apabila Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melaksanakan kerja menaik taraf longkang dengan kos RM350,000 menerusi peruntukan Sistem Maklumat Jalan Malaysia (MARRIS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, projek yang bermula 15 Ogos lalu dijangka siap pada 19 November, sekali gus memberi kelegaan kepada kira-kira 50 pemilik kedai yang selama ini terpaksa berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat.

“Dua saliran sepanjang 500 meter akan dilebarkan sehingga dua kali ganda bagi meningkatkan kapasiti takungan dan aliran air. Langkah ini diyakini mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan lama yang berusia sejak zaman kolonial ini.

“Pada 2023 saya minta Kerajaan Negeri campur tangan dan akhirnya MPS mengambil alih pengurusan jalan serta longkang untuk laksana kerja penambahbaikan,” katanya ketika meninjau projek itu bersama wakil MPS hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pernah memasang pam air di longkang dan Sungai Raja bagi mempercepat aliran keluar, namun sistem sedia ada masih tidak mampu menampung ketika hujan lebat.

“Atas sebab itu, MPS juga akan membuat kajian termasuk langkah memecahkan aliran air terus ke Sungai Raja. Selain itu, perancangan akan dibuat pada masa depan bagi menaik taraf longkang berhampiran pasar raya Giant supaya aliran lebih lancar ke sungai.

“Jika semua projek berjalan baik, kira-kira 50 kedai di kawasan ini akan bebas daripada igauan banjir yang mereka alami sejak puluhan tahun,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.