ad

Kumpulan jenayah terancang tumpas, 17 ahli miliki 80 rekod jenayah ditahan

24 Sep 2025, 4:57 AM
Kumpulan jenayah terancang tumpas, 17 ahli miliki 80 rekod jenayah ditahan

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang dengan menahan 17 ahlinya dalam operasi di empat negeri pada 11 September lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2023 dengan melakukan jenayah kekerasan termasuk pembunuhan serta khianat menggunakan api.

“Tangkapan melibatkan individu berusia 19 hingga 44 tahun dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Polis Kontinjen Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata perbuatan ganas kumpulan itu pernah tular di media sosial apabila video serangan mereka di Taman Sentosa, Klang menyebabkan kematian.

Pihak polis turut menyiasat kemungkinan penglibatan kumpulan sama dalam kes tembakan di restoran di Brickfields dan Cheras pada Jun lalu.

Mohd Khalid berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai 80 rekod jenayah lampau termasuk 34 kes berkaitan dadah.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata kumpulan berkenaan dianggarkan mempunya 33 ahli dan pihaknya sedang mengesan saki-baki anggota kumpulan berkenaan melibatkan enam individu penting termasuk dalang utama seorang lelaki tempatan.

“Siasatan mendapati motif utama kumpulan ini adalah keuntungan serta perebutan kawasan dan pengaruh, malah ada yang dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah dan pemberi pinjaman wang tanpa lesen,” katanya.

Mohd Khalid menegaskan kejayaan operasi ini hasil risikan dan penguatkuasaan bersepadu, sekali gus memberi mesej jelas bahawa tiada ruang toleransi terhadap mana-mana kumpulan jenayah yang cuba mencabar undang-undang dan menggugat keselamatan negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.