ad

JPN tawar tukar cip MyKad rosak percuma sempena BUDI95

22 Sep 2025, 9:48 AM
JPN tawar tukar cip MyKad rosak percuma sempena BUDI95

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan kemudahan menukar cip MyKad rosak secara percuma bermula esok hingga 7 Oktober ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan rakyat tidak terhalang daripada menikmati subsidi petrol RON95 di bawah Program Budi Madani (BUDI95).

Menurutnya, kemudahan berkenaan boleh dilakukan di semua kaunter serta pejabat JPN seluruh negara dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Madani yang dianggarkan mencecah RM714,660.

“Berdasarkan purata permohonan dua bulan kebelakangan ini, sekitar 43,000 unit cip MyKad rosak direkodkan setiap bulan. Oleh itu, kerajaan menanggung sepenuhnya kos penggantian supaya tiada rakyat tercicir hanya kerana masalah teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 September melalui penyasaran subsidi BUDI95, melibatkan 16 juta warganegara yang memiliki lesen memandu sah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.