ad

BUDI95: Harga petrol di Malaysia antara terendah di dunia

22 Sep 2025, 8:59 AM
BUDI95: Harga petrol di Malaysia antara terendah di dunia

BALIK PULAU, 22 SEPT: Harga petrol di Malaysia akan menjadi antara yang terendah di dunia apabila program penyasaran subsidi mula dilaksanakan pada 30 Sept ini, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter akan kekal dinikmati oleh rakyat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) walaupun berlaku peningkatan harga minyak mentah dalam pasaran global pada masa hadapan.

Beliau menekankan bahawa perubahan atau ketidaktentuan harga minyak di pasaran global tidak akan sesekali menjejaskan harga bersubsidi yang telah ditetapkan untuk rakyat negara ini.

“Kalau kita lihat, harga RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia adalah antara yang paling murah di dunia. Apabila kita naikkan harga kepada harga pasaran pun, kita masih antara negara termurah di rantau dan di seluruh dunia.

“Kita tunggu 30 Sept nanti, berapakah harga pasaran sebab ia bergantung pada harga minyak sedunia, tetapi RM1.99 itulah harga bersubsidi dan ia akan kekal, terendah di dunia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Kampung Angkat MADANI Menteri Kewangan II di Pulau Betong, di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata penyasaran subsidi itu dijangka membolehkan kerajaan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung pada harga pasaran global dan kadar itu dapat dicapai sekiranya harga minyak mentah berada kira-kira USD75 setong.

Beliau berkata hasil daripada penjimatan itu dapat disalurkan semula kepada rakyat seperti melalui program bantuan langsung termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Mengulas mengenai siling kelayakan 300 liter sebulan, Amir Hamzah berkata perkara itu dilihat mencukupi untuk kegunaan sebulan bagi sesebuah kenderaan, berdasarkan kajian yang dibuat.

“Kita telah membuat kajian dan mendapati bahawa 300 liter itu merupakan kadar penggunaan biasa kerana jika dilihat pada kategori kereta, penggunaannya antara 170 kilometer (km) satu hari ulang-alik.

“Jadi, jika seseorang itu tinggal di Seremban, Negeri Sembilan dan bekerja di Kuala Lumpur, (atau) Putrajaya boleh masuk dalam 170 km yang kita anggarkan itu, tetapi untuk pekerja seperti p-hailing yang membawa kereta, kita beri peluang kepada mereka memohon untuk (mendapat) kelayakan lebih,” katanya.

Amir Hamzah turut menjelaskan penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan ialah kaedah terbaik pada masa ini sekali gus tidak memerlukan kerajaan membangunkan sistem baharu.

“MyKad telah digunakan dalam penyaluran bantuan kerajaan pada masa ini, contohnya STR telah disalurkan kepada sembilan juta penerima melalui MyKad. Kita tidak menghadapi sebarang masalah dengan sistem sedia ada dan tidak perlu mewujudkan sistem atau kad baharu.

“Bagi pihak kerajaan pula, kita menggunakan proses sedia ada dalam kerajaan untuk memastikan dari segi keselamatan dalam sistem, mengikut peraturan yang ada dalam kerajaan, tetapi yang pentingnya, kita nak rakyat bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.