ad

Projek ECRL capai kemajuan 87 peratus

22 Sep 2025, 10:10 AM
Projek ECRL capai kemajuan 87 peratus

KUALA TERENGGANU, 22 SEPT: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 87 peratus sehingga Ogos lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata segmen di Terengganu antara yang paling pantas disiapkan berikutan isu tanah telah diselesaikan lebih awal, selain faktor geografi di negeri itu yang rata serta kurang cabaran dari segi pembinaan.

“Di Terengganu, pembinaan trek hampir siap, manakala bahagian yang masih belum disiapkan melibatkan jajaran dari Bentong ke Gombak, khususnya Terowong Genting hingga ke Gombak, yang merupakan segmen paling mencabar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Perkhidmatan BAS.MY Kuala Terengganu di Pasar Payang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata kemajuan ECRL di Kelantan dan Terengganu tidak membimbangkan kerana kebanyakan proses pembinaan telah siap.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan terdapat isu kecurian kabel di Pahang yang menjejaskan kelancaran kerja pembangunan ECRL di kawasan tersebut.

“Lebih satu kilometer kabel telah dicuri dan itu menjadi masalah kepada pihak pemaju. Mereka perlu menilai semula pendekatan untuk mempercepatkan proses.

“Saya telah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis. Tindakan lebih agresif perlu diambil, termasuk menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih tegas untuk menangani isu tersebut,” katanya.

Beliau menambah, selain menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, kecurian kabel itu turut mengganggu ketenteraman awam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.