KUALA LUMPUR, 25 NOV: Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merupakan antara reformasi yang menonjol sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, sekali gus melindungi rakyat daripada ketidaktentuan global, khususnya ketika konflik yang berterusan di Asia Barat.
Pelaksanaan BUDI95 merupakan sebahagian daripada agenda reformasi fiskal kerajaan yang lebih menyeluruh sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022.
Program itu diperkenalkan hampir tiga tahun selepas kerajaan mengambil alih pentadbiran, susulan beberapa siri persiapan termasuk pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) pada Januari 2024 dan pelaksanaan subsidi diesel bersasar pada Jun 2024.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi, dipetik sebagai berkata reformasi subsidi bahan api bersasar Malaysia menerusi BUDI95 merupakan langkah ke arah yang tepat dalam menghadapi konflik di Asia Barat, ketika kerajaan berusaha mengurus tekanan fiskal dengan lebih baik, selain memastikan subsidi disalurkan secara lebih cekap.
Lindungi pengguna
Reformasi subsidi bahan api bersasar yang diperkenalkan pada 30 Sept 2025 membolehkan warganegara Malaysia membeli petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, tertakluk kepada kuota bulanan sebanyak 300 liter yang disahkan menerusi pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dikenakan harga tanpa subsidi.
Harga RON95 tanpa subsidi ialah RM3.72 seliter bagi tempoh 19 hingga 25 Nov, berbanding harga bersubsidi RM1.99 seliter di bawah BUDI95.
Harga minyak global melonjak melebihi US$100 setong pada awal tahun ini susulan konflik membabitkan Amerika Syarikat dan Iran.
Bagaimanapun, warganegara Malaysia terus menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter menerusi program subsidi berkenaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi Malaysia kekal sekitar 1.8 peratus antara Januari hingga Oktober tahun ini, walaupun berlaku peningkatan ketara harga minyak mentah global susulan tercetusnya perang di Iran pada 28 Feb.

"Ini menunjukkan bahawa subsidi bahan api bersasar berkesan dalam membendung kadar inflasi negara.
"Selain itu, peranan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam mendapatkan bekalan bahan api negara turut memainkan peranan penting dalam memastikan harga bahan api kekal stabil. Pada pandangan kami, gabungan kedua-dua faktor ini berkesan," katanya kepada Bernama.
Elak ketirisan
Warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menerima subsidi itu, dengan lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka mendapat manfaat berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mohd Afzanizam berkata penggunaan MyKad memastikan manfaat BUDI95 disalurkan secara eksklusif kepada rakyat Malaysia yang layak, sekali gus membantu membendung penyeludupan bahan api dan mengelakkan ketirisan subsidi bernilai jutaan ringgit.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada 9 Okt, lebih 14.8 bilion liter RON95 dibeli pada harga bersubsidi, membabitkan penyaluran subsidi sebanyak RM18 bilion setakat akhir Ogos 2026. Ini mencerminkan usaha kerajaan memastikan subsidi dinikmati golongan yang layak, selain memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Sementara itu, lebih 130 juta liter diesel digunakan menerusi mekanisme subsidi bersasar, BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), dalam tempoh sama, membabitkan subsidi kira-kira RM295 juta.

Diperluas ke seluruh negara pada 1 Julai 2026, program itu membolehkan penerima yang layak membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.10 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM4.72 seliter bagi tempoh 19 hingga 25 Nov.
Mohd Afzanizam berkata kerajaan boleh memperhalusi lagi dasar subsidi bersasar menerusi sistem MyKad, dengan kelayakan berdasarkan pendapatan berpotensi dipertimbangkan dalam fasa seterusnya.
Jana penjimatan
BUDI95 dijangka menjana penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion dari perspektif fiskal.
Secara berasingan, rasionalisasi subsidi diesel bersasar pada awalnya dijangka menjana penjimatan RM4 bilion, bagaimanapun anggaran seterusnya meletakkan jumlah itu antara RM6 bilion hingga RM7 bilion.
Mohd Afzanizam berkata penjimatan itu amat signifikan kerana memberikan ruang fiskal yang lebih besar kepada kerajaan untuk memperuntukkan dana bagi perbelanjaan penting.
"Ia memberikan sedikit ruang fiskal untuk perbelanjaan bagi perkara-perkara penting. Sebagai contoh, peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion pada 2026, dan seterusnya ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027," katanya.
Kejayaan negara
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata program BUDI MADANI disifatkan sebagai antara kejayaan negara dalam melaksanakan subsidi bersasar yang bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah membendung ketirisan subsidi bahan api.

"BUDI MADANI merupakan antara kejayaan negara. Ini adalah salah satu kaedah yang diperkenalkan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, di samping meningkatkan pendapatan boleh guna mereka," katanya.
Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia menanggung peningkatan kos subsidi bahan api yang boleh mencecah RM45 bilion setahun susulan lonjakan harga minyak mentah global yang meningkat kepada antara US$120 hingga US$130 setong, berbanding memindahkan beban itu kepada rakyat menerusi kenaikan harga bahan api.
Beliau berkata langkah itu bertujuan melindungi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, daripada kesan kenaikan harga bahan api global serta tekanan susulan terhadap perbelanjaan isi rumah.
"Jika harga bahan api dinaikkan mengikut kadar pasaran, rakyat perlu menanggung kos tambahan RM2 atau RM3, malah sekurang-kurangnya RM5 sehari. Oleh itu, lebih baik kerajaan menanggung beban tersebut daripada memindahkannya kepada rakyat," katanya seperti yang dilaporkan.






