LELAKI HILANG KETIKA CARI ETOK DI SUNGAI PAHANG DITEMUKAN LEMAS
KUANTAN, 21 SEPT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari etok bersama-sama keluarga di Sungai Pahang berdekatan dengan Kampung Bukit Kenau, Pekan pada Jumaat lepas ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata mangsa Mohd Zainuren Abd Rashid, 45, dijumpai oleh penduduk kampung pada 7.45 pagi tadi.
“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira tiga kilometer dari lokasi lelaki itu dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat Mohd Zainuren dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa dipercayai dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira 6 petang ketika mencari etok bersama dengan empat ahli keluarganya.
-- BERNAMA