KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kerajaan Negeri mempercepat pelaksanaan projek intervensi jangka pendek mitigasi banjir di kawasan hotspot bagi mengurangkan risiko bencana menjelang fasa peralihan monsun.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut digerakkan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim sejak lebih tiga bulan lalu melalui siri lawatan tapak di lokasi berisiko.
“Kita sudah bincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lepas. Ada dua usaha yang paling penting iaitu infrastruktur. Saya minta dipercepatkan semua projek-projek terutama projek segera yang telah kita kenalpasti.
“Sekarang Dato’ Izham sudah bergerak sejak tiga ke empat bulan lalu ke lokasi-lokasi untuk pastikan projek dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Menurut Amirudin, antara kawasan tumpuan termasuk Klang, Kuala Selangor, Sepang, Petaling Jaya dan Shah Alam yang dikenal pasti berisiko tinggi banjir.
Pada masa sama, beliau berharap projek mitigasi jangka panjang di bawah Kerajaan Persekutuan seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Hulu Langat 2 dapat disegerakan.
“Projek jangka masa panjang seperti RTB Hulu Langat 2 dan sebagainya, itu memang kita harap dipercepatkan sebab kalau tidak ia akan berlaku lagi macam minggu lalu di Sungai Serai, contohnya.
“Itu adalah kesan apabila RTB kita belum siap sepenuhnya. Tapi ia boleh dikurangkan dengan projek intervensi segera yang telah dikenalpasti,” katanya.
Awal minggu ini, beberapa kawasan di Hulu Langat termasuk Batu 16, Batu 18, Kampung Sungai Lui, Kampung Sungai Serai dan Sungai Pangsun dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam.