KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara beregu wanita Kejohanan Dunia 2025, Pearly Tan-M. Thinaah, masing-masing terselamat daripada kejutan awal pada pusingan pertama Masters China 2025 di Shenzhen, hari ini.
Dalam aksi pembukaan kejohanan bertaraf Super 750 di Shenzhen Arena, Aaron-Wooi Yik terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, 21-19, 21-23, 21-19 dalam pertarungan sengit hampir sejam untuk mengesahkan slot ke pusingan kedua.
Menanti gandingan negara itu di pusingan seterusnya ialah pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, yang sebelum ini tewas lima kali dalam lapan pertemuan menentang Aaron-Wooi Yik.
Lane-Vendy terdahulu menewaskan beregu Jepun Takumi Nomura-Yuichi Shomogami, 21-16, 21-13.
Satu lagi beregu lelaki negara, pilihan kelima kejohanan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara selepas menundukkan adik-beradik dari Perancis, Christo dan Toma Junior Popov, 21-11, 25-27, 21-15.
Wei Chong-Kai Wun dijadual menentang gandingan Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana yang menyingkirkan pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura, 21-16, 16-21, 21-16.
Sementara itu, beregu wanita nombor satu negara Pearly-Thinaah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, 20-22, 21-16, 22-20 dalam pertarungan sengit selama 73 minit.
Pearly-Thinaah bakal berdepan pasangan Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai yang menewaskan gandingan Taiwan, Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun, 21-10, 23-25, 21-9.
Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan negara bukan pilihan Ong Xin Yi-Carmen Ting yang menewaskan pasangan India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda, 21-8, 21-13 dalam masa hanya 28 minit.
Bagaimanapun, cabaran menanti mereka apabila dijadual menentang pilihan keenam dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang menewaskan pasangan Taiwan, Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh, 21-12, 21-14.
Namun, satu lagi beregu negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing gagal mencipta kejutan apabila tewas kepada pilihan kelapan tuan rumah, Li Yi Jing-Luo Xu Min, 19-21, 21-12, 19-21 biarpun mempamerkan semangat juang tinggi.
-- BERNAMA
TAG: China Masters,Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah
MAT HN SZJ