Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas pusingan kedua Terbuka China

23 Jul 2026, 9:02 AM
Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas pusingan kedua Terbuka China

SHAH ALAM, 23 JULAI: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan kedua Terbuka China, hari ini.

Dalam aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu, pasangan nombor enam dunia itu tewas kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 19-21, 21-12, 19-21 dalam tempoh 56 minit, lapor Berita Harian.

Selepas kecundang pada set pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit dengan aksi lebih kemas untuk menguasai set kedua 21-12 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, pasangan Denmark kembali menguasai permainan pada set ketiga apabila mendahului 14-9.

Sze Fei-Izzuddin cuba merapatkan jurang mata, namun gagal mengelak kekalahan tipis 19-21.

Sze Fei mengakui mereka perlu memperbaiki aspek fokus selepas gagal mengekalkan kelebihan ketika sedang mendahului perlawanan.

"Masih okey, cuma ketika kami sudah mendahului di set pertama dan kemudian dikejar semula, itu yang kami perlu perbaiki. Selepas ini kami kena lebih fokus dalam situasi seperti itu," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Izzuddin pula berkata, lawan berjaya mengganggu rentak permainan mereka sehingga menjejaskan fokus di gelanggang.

"Lawan bermain dengan baik. Mereka banyak mengganggu rentak kami dan mungkin sebab itu rentak kami sedikit terganggu.

"Kami masih banyak perlu belajar, terutama untuk tidak terlalu mengikut rentak lawan. Kami perlu kekal fokus dengan corak permainan sendiri," katanya.

Mengulas prestasi semasa mereka menjelang Kejohanan Dunia, Sze Fei berkata fokus utama kini adalah meningkatkan lagi prestasi menjelang kejohanan seterusnya.

"Kami hanya mahu fokus kepada prestasi. Selepas ini kami akan kembali menjalani latihan dan harap dapat tampil lebih baik," katanya.

Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin muncul juara Terbuka China 2024 yang juga gelaran sulung mereka dalam saingan Jelajah Dunia Super 1000.

Musim ini, pasangan berkenaan sudah merangkul dua gelaran menerusi Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, selain muncul naib juara Masters Malaysia.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.