ad

Putrajaya diseru buat reformasi infrastruktur pelancongan domestik

17 Sep 2025, 4:33 AM
Putrajaya diseru buat reformasi infrastruktur pelancongan domestik

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri diseru berusaha melaksanakan reformasi infrastruktur pelancongan domestik bagi mengelak kecenderungan rakyat melancong ke luar negara ketika cuti panjang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Pua Pei Ling berkata ia susulan lebih 200,000 pelancong Malaysia memilih melancong ke Thailand, menyebabkan lebih RM130 juta mengalir keluar ke negara jiran ketika cuti panjang Hari Malaysia.

“Pada tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Malaysia, pihak berkuasa mesti segera mengambil tindakan supaya pelancongan domestik menjadi pilihan utama.

“Jika tidak, kita akan terus kehilangan pelancong dan perbelanjaan, manakala keindahan alam serta budaya tempatan akan terpinggir. Ini adalah satu kerugian kepada ekonomi dan industri budaya,” maklumnya menerusi kenyataan.

Beliau turut menyeru kerajaan meletakkan pelancongan domestik sebagai sebahagian strategi negara, bukan sahaja untuk menarik kedatangan pelancong asing, malah rakyat tempatan memilih bercuti dalam negara kerana faktor kemudahan dan pengalaman yang ditawarkan.

“Tahun Melawat Malaysia 2026 ialah peluang penting, projek pemanas badan mesti bermula dari tahun ini. Kita harus menjadikan pelancongan domestik sebagai pilihan utama rakyat ketika bercuti,” tegasnya.

Keindahan kawasan tanaman padi yang menjadi tarikan pelancong di Sekinchan, Selangor

Pada masa sama, Pei Ling menghargai usaha proaktif Kerajaan Selangor khususnya Tourism Selangor melalui kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) yang menerima 4.14 juta pelancong pada separuh pertama tahun ini, sekali gus 52 peratus daripada sasaran tahunan.

“Saya yakin dengan promosi berterusan, jumlah itu berpotensi mencecah malah melepasi 8 juta pelancong menjelang akhir tahun. Namun, peningkatan angka ini memang membanggakan, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana untuk mengekalkan pelancong supaya terus berbelanja di dalam negara,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.