ad

Sepanyol ugut boikot acara muzik tahunan jika Israel ambil bahagian

17 Sep 2025, 2:15 AM
Sepanyol ugut boikot acara muzik tahunan jika Israel ambil bahagian

MADRID, 17 SEPT: Sepanyol, satu daripada lima penyumbang kewangan utama Eurovision, tidak akan menyertai pertandingan nyanyian tahun depan di Vienna sekiranya Israel mengambil bahagian, menurut pengumuman penyiar nasional Sepanyol RTVE pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menteri Kebudayaan Sepanyol Ernest Urtasun memberi amaran pada minggu lepas bahawa Madrid sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada acara itu.

Perdana Menteri Pedro Sánchez turut menyatakan Sepanyol tidak boleh mengambil bahagian dalam pertandingan yang disertai Israel, dengan merujuk kepada tindakan ketenteraan negara itu di Semenanjung Gaza.

Penyiar dari Ireland dan Belanda juga baru-baru ini mengugut untuk memboikot acara muzik tahunan itu yang menyaksikan negara-negara, kebanyakannya dari Eropah tetapi turut melibatkan negara lain, menghantar lagu untuk bersaing merebut gelaran dengan persembahan dinilai juri kebangsaan serta undian awam.

Penyiar nasional memainkan peranan penting dalam Eurovision kerana mereka adalah wakil rasmi negara masing-masing dalam Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU), bertanggungjawab memilih penyertaan, menyelaras siaran langsung dan mengawasi proses pengundian.

Penyertaan, pembiayaan serta sokongan penganjuran mereka amat penting kepada pertandingan itu, menjadikan ugutan penarikan diri satu gangguan besar kepada acara berkenaan.

Penyiar Israel, Kan, minggu ini menyatakan negara itu tetap berhasrat untuk menyertai walaupun wujud bantahan.

-- BERNAMA-dpa

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.