Oleh Regina Ibrahim
Jauh Napisah membawa diri, tidak banyak bercerita, rabung terlalu ditakuti mengheret petaka.
Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, terpelantinglah bersama pengarang jantung berusia 5 tahun, meninggalkan lelaki berubah hati, belum puas membujang agaknya, saat ghairah berkesanggupan luar biasa. Sanak saudara? Mereka kecewa berat, sanggup Napisah memilih kerani biasa, bermajlis koboi tanpa kenduri kendara.
Daerah baharu, hajatnya melupus kelukaan.
Dibacanya struktur daerah baharu, makan? Kerja apa? Sijil kemahiran tiada, ikut serta hanyalah kad pengenalan dan surat beranak buah hati. Serba satu persalinan, 2 urat gelang emas dan tunai kecemasan 350 ringgit.
Rumah singgah gelandangan syaratnya hanya 2 minggu. Kerja bagaimana? Bolehkah diusung anak sekali?
“Sini kalau lajin bole bikin luit, sana flat kasi anak talika, lu panlai masak?” ujar Aunty Lim pemilik bilik sewa ketika dibayar deposit. Usia emas Lim Seok Boey menemukannya dengan 1001 cerita perantau bangsat.
Jatuh talak, tak guna dilalak. Upah harian mencuci pinggan mangkuk, bancuh air kedai tidak halal tidak mengapa, bukankah dia bersebab?
Dalam perjalanan pulang disapanya Mariamah perempuan India tua yang kelihatan tertunduk-tunduk menekuni longgokan sampah Jalan Vicky.
“Ini besi sekilo mau 2 ringgit, kadang kadang apapun tarak… aluminium boleh naik 4 ringgit… kutip kasi bersih, sana kaya orang banyak buang barang, lu ada masakkah? Itu sayoq kadai… pilih pilih boleh makan punya,”
“Orang tak marah Aunty?”
“Sapa mau marah? Kita dunia kasi cuci,”
Inspirasi hadir, tidak pernah terbayang langsung!
Padam malu, kikislah ragu. Yuran tadika 80 ringgit dia mampu. Awalnya dalam radius 300 meter mengusung keranjang, seterusnya dapat basikal roda tiga, kutipan merancak. Kilometer bertambah, lokasi ikut suka hati.
Kutip, kutip dan kutip, mana yang laku, mana diterima...
Gempal hilang tanpa sedar, kulit terbakar tiada soal. Makan lepas, perasaan bebas. Tertawa melihat diri berpakaian seperti jantan, atas bawah tajaan sekitar.
Buah hati suka ayam goreng McDonil, Napisah mampu sekali seminggu. Bahagia makan-makan bersama sambil menonton YouTube di telefon bimbit kutip yang masih elok, meminjam talian internet anak bujang aunty Lim.
Bau setanggi dan colok mangli terbiasa. Rumah tiada anjing. “Sendili mau makan pun manyak susah, lagi mau kasi anjing?” rungut Aunty Lim, Napisah takut anjing, dia tidak biasa.
Memulung selalunya pagi, pembuangan sampah tidak kira waktu. Kutipan malam ditapuk dalam basikal roda tiga yang diparkir hadapan rumah.
Pejam celik, hampir setahun, bangkai binatang? Pecahan kaca? Becak hujan? Timbang-tara? Semua pengajaran berhati-hati. Terubat, ketika menemukan buangan berharga.
Hujan sereyat betul-betul setelah azan Maghrib. Tiga rakaat lengkap dengan doa-doa tidak putus, kesayangan menemani nenek Lim menonton siri Kantonis. Berkayuhlah menuju Jalan Vicky pembawa rezeki.
Lokasi sepi. Timbunan dilimpahi lampu jalan antara terang dan malap, cekap menguis dengan batang berhujung kepit, malam ini tiada besi, dikuis-kuis lagi. Kelihatan bagasi hitam beroda, tidaklah pasti mahal atau murah, orang melarat… semua terlihat bernilai. Diangkatnya bagasi bersaiz 4 X 2, dihumban atas pelantar basikal roda tiga. Kayuhan harapan diteruskan lagi...
Damai, kenderaan kurang, berdialoglah Napisah tentang masa depan. Melintas pertanyaan, sampai bila? Tersenyum simpul, malu saat persoalan jodoh melintas, siapalah bakal penyelamat? Mata dikerling pada bagasi hitam, terbit keraguan
“Kalau bersumbat mayat kerat, bagaimana?”
“Pastilah busuknya bukan kepalang…”
“Jika berisi batu bata?” tertawalah sendirian.
Longgok sampah lapang, tiada rezeki. Pulang nanti mahu mandi bersih-bersih kemudian bersantai menonton apa sahaja, biar ralit mengusung kantuk.
Setelah isi rumah sepi, barulah ditarik masuk bagasi hitam tanpa cela cuma dibasahi hujan, logo tertera Lancaster 4.7. Badan letih mata kuyu, disorong sahaja bawah katil kayu. Tiada persoalan, tiada jawapan.
Kalau mayat busuklah setelah 3 hari.
***
Lusa, sewaktu tiba menyertai Mariamah, kelihatan 2 lelaki kekar rancak berdialek Tamil. Sedang mengurat? Ah! Jauh sekali, mata mereka berpaling padanya… direnung atas bawah.
“Misah ada nampak bek? Bek itam? Ini orang tanya…”
“Huh? Tak nampak, saya dua hari sana Jalan Manggis…”
Mariamah meneruskan perbualan, entah polis? Entah mata mata?
“Itulah kak, tauke kami silap buang beg, kalau akak terambil boleh kasi balik,”
“Majlis sudah kasi clear agaknya… 2 hari hujan lebat, buang hari apa?” soalan gemuruh Napisah tidak berjawab.
Mereka akhirnya berlalu pergi.
Jantungnya dag-dig-dug kencang.
***
Belum 11.30 pagi Napisah sudah pulang, pendapatan hari ini 25 ringgit (setimbun kotak-kotak kertas leper dan sebungkus bekas aluminium penyek). Dari kamar mandi, dicapainya tukul dan pahat berhampiran mezbah penyembahan Aunty Lim.
Bismillah, tiga hentakan, pedal ayam menyerah kalah. Berdoa, janganlah muncul pelik-pelik. Diselak perlahan lapisan kertas, jiwa mahu meracau, ketar ketir, tak mampu bersuara. Ketawa? Menjerit? Mana satu? Mata digosok-gosok, bukan mimpi, diangkatnya seikat dari susunan berbaris memenuhi ruang beg – lengan dicubit, jangan-jangan kepingan wang neraka hantu lapar bulan lapan?
Alhamdulillah, ikatan berikat getah bersusun padat. Ditariknya sekeping dominasi ungu. Tersandar, seikat tebal kejap di tangan, ditekap ke hidung, wangi berharga. Beg disorong kembali. Jam menghampiri 12 tengahari, akal berputar.
“La… sungguh ka? Minta maaflah… kak tak tau, jumpa kat tempat buang sampah, nah ambik duit ni pula,” jawapan dirangka-rangka saat mengayuh roda tiga menuju rumah makan McDonil.
Set mewah dan minuman siap berbungkus diserahkan ketika transaksi manual.
“Semua 35 ringgit 60 sen termasuk cukai…” si manis, mengembalikan baki 64 ringgit 40 sen.
Napisah berselubung lega, dunia berbeza cerahnya, kayuhan lancar menuju flat Melati.
2 lelaki kekar masih melintasi lokasi buang sampah Jalan Vicky, masih angkat tangan dengan laungan, “apa khabar kak?” Napisah belajar tenang.
“Harga besi turun, cari makanpun susah sekarang…” pasti dia masih dipantau. Hajat bersedekah not ungu pada Mariamah terbatal, takut mengundang musibah.
3 bulan setelah itu, Aunty Lim berwajah sedih membawa berita, “itu gomen mau angkat ini lumah, kita pun talak luit mau kasi renovation, aunty kasi tau awai awai sama lu, suka talak suka kena kasi sama gomen, Ah Beng chiakap luluk sama dia sana Paya Keliang…” wajahnya bagai ibu tua meratap.
National Heritage Trust tidaklah Napisah fahami.
***
“Maksimum ASB 300,000 makcik…”
“Ni simpanan jual karipap sardin depan rumah”
“Sedapnya…, berapa makcik jual?” basa-basi kerani menanti mesin kira berfungsi.
“Satu set 10 ringgit, untung tak banyak mana, lepaslah duit dapur…”
Ketika kerani mengangkat sekeping ke arah lampu kalimantang, jantung tetap kencang berdegup
“Siap… nah dokumen, tak perlu buku, bawa kad pengenalan ke mana-mana kaunter ASB, dividen setahun dari tarikh hari ni…”