ad

Mangsa kebakaran Flat Pinggiran disantuni, PKM Gombak serah bantuan tunai

16 Sep 2025, 10:24 AM
Mangsa kebakaran Flat Pinggiran disantuni, PKM Gombak serah bantuan tunai
Mangsa kebakaran Flat Pinggiran disantuni, PKM Gombak serah bantuan tunai
Mangsa kebakaran Flat Pinggiran disantuni, PKM Gombak serah bantuan tunai
Mangsa kebakaran Flat Pinggiran disantuni, PKM Gombak serah bantuan tunai
Mangsa kebakaran Flat Pinggiran disantuni, PKM Gombak serah bantuan tunai

GOMBAK, 16 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Gombak menyerahkan bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa kebakaran membabitkan enam unit kediaman di tingkat lima Flat Pinggiran, Taman Pinggiran Batu Caves.

Pengurus PKM Parlimen Gombak, Syed Ali Syed Harun Al Idrus berkata sumbangan awal itu bagi meringankan beban mangsa yang terkesan akibat tragedi yang berlaku semalam.

“Biasanya pendekatan pejabat parlimen adalah kita akan salurkan bantuan awal untuk memudahkan mangsa meneruskan kehidupan. Tapi ada juga kes dimana jika mangsa golongan B40, kita boleh bantu sehingga bina semula rumah mereka.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Gombak, Syed Ali Syed Harun Al Idrus bercakap kepada Media Selangor selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pejabat Urusan JMB Pangsapuri 322, Gombak pada 16 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Bagaimanapun saya difahamkan di sini, mereka ada insurans kelompok. Kemungkinan kita akan tunggu dahulu laporan pihak bomba sebelum kita ambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, beliau yang hadir mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni dan menyampaikan sumbangan tunai kepada mangsa kebakaran Flat Pinggiran di Pejabat Urusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sini, hari ini.

Sementara itu, mangsa, Alisha Nazihah Mas Fauzi, 16, meluahkan rasa terkilan kerana hanya sempat menyelamatkan beg sekolahnya sahaja ketika berdepan situasi kecemasan berkenaan.

Ketika kejadian, anak tunggal itu tinggal bersendirian dan sedang mencuba resepi baharu kek berperisa vanila, manakala ibu bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Alisha Nazihah Mas Fauzi, 16, (kanan) bercakap kepada Media Selangor selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pejabat Urusan JMB Pangsapuri 322, Gombak pada 16 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Ketika siapkan bahan untuk buat kek, saya terdengar bunyi tikus lari di siling, tapi saya tidak fikir apa-apa dan teruskan buat kek.

“Kemudian saya terdengar jiran jerit suruh saya keluar rumah, jadi saya terus keluar dan selamatkan beg sekolah sahaja tanpa fikir apa-apa,” katanya yang mengakui masih trauma.

Bagi Ayu Munirah Musliani Musthapa Kamal, 38, beliau dan keluarga ketika itu baharu tiba kira-kira jam 10 pagi usai pulang dari bercuti di Jakarta, Indonesia.

Menurutnya, beliau yang sedang nyenyak tidur terbangun kerana terasa bahang panas selain mendengar kekecohan jiran di kaki lima perumahan itu.

Ayu Munirah Musliani Musthapa Kamal, 38, (kiri) bersama suami Tuan Asraf Tuan Musa, 37, ketika ditemubual Media Selangor selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pejabat Urusan JMB Pangsapuri 322, Gombak pada 16 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya hanya sempat selamatkan komputer riba, barangan kemas dan beg berisi barangan percutian kami sekeluarga. Dokumen penting yang lain semua hangus terbakar.

“Rasa sedih juga kerana sudah menyewa rumah itu selama 11 tahun. Sekarang kami tinggal sementara di JMB ini kerana rumah saudara mara yang lain jauh,” kata ibu dua anak itu lagi.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, enam unit kediaman dengan setiap unit berkeluasan 35x25 kaki persegi di tingkat lima Flat Pinggiran terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berjaya dikawal jam 12.11 tengah hari dan tiada mangsa terlibat dalam insiden itu.

Keadaan rumah di Flat Pinggiran, Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak yang musnah akibat kebakaran pada 16 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR