KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menzahirkan ucapan selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-92 kepada seluruh warga pasukan itu.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti serta pengorbanan para pegawai dan anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut mendoakan seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah demi tanah air tercinta," menurut hantaran itu.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada pesara-pesara ATM yang pernah berkhidmat mencurahkan sumbangan mereka dalam pasukan.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.
-- BERNAMA