IPOH, 15 SEPT: Mayat bayi yang masih belum dikenal pasti jantinanya ditemukan di pesisiran Sungai Air Kala, Selat Pagar, dekat Gerik, kira-kira 121 kilometer dari sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan itu jam 2.15 petang.
Beliau berkata jantina dan bangsa bayi berkenaan masih belum dapat dikenal pasti.
"Mayat bayi itu sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Polis memandang serius kes seumpama ini dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya.
- BERNAMA