ad

Mangsa banjir empat negeri meningkat, dua PPS dibuka di Selangor

15 Sep 2025, 1:07 PM
Mangsa banjir empat negeri meningkat, dua PPS dibuka di Selangor
Mangsa banjir empat negeri meningkat, dua PPS dibuka di Selangor
Mangsa banjir empat negeri meningkat, dua PPS dibuka di Selangor
Mangsa banjir empat negeri meningkat, dua PPS dibuka di Selangor

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Situasi banjir di empat negeri terutama Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat petang tadi berbanding pagi.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 863 orang daripada 220 keluarga berbanding 415 orang daripada 113 keluarga pagi tadi.

“Kesemua mangsa adalah penduduk dari 36 kampung di empat daerah terjejas iaitu Penampang, Beaufort, Membakut dan Tawau.

“Empat lagi PPS dibuka sejak 10 pagi tadi melibatkan Dewan Masyarakat Papar serta Dewan PPR Sri Keramat Putatan, selain PPS Kampung Sarapung dan Dewan Inobong di Penampang. Maklumat penduduk terjejas yang akan ditempatkan di PPS tersebut sedang dikemas kini,” menurut kenyataan itu.

Di Perak, jumlah mangsa meningkat kepada 194 orang daripada 48 keluarga di daerah Muallim setakat 4 petang tadi.

Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan terdapat penambahan jumlah mangsa dan keluarga di kedua-dua PPS itu berbanding 131 mangsa daripada 30 keluarga pada 2 petang tadi.

Pegawai Daerah Muallim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mohd Sabli Bakri dalam kenyataan turut mengumumkan pembukaan PPS baharu di Dewan Serbaguna Kampung Pauh, Behrang Stesen pada 6 petang.

Di Negeri Sembilan, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson Kapten (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata jumlah mangsa di PPS Balai Raya Kampung Jimah Lama meningkat kepada 50 orang daripada 13 keluarga setakat 4 petang, berbanding 33 orang daripada lapan keluarga pagi tadi.

“Cuaca ketika ini cerah dan trend air semakin menurun, namun banjir belum surut sepenuhnya di beberapa rumah berikutan lokasi kampung itu berdekatan dengan sungai,” katanya.

Di Selangor, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan setakat 7.25 malam, dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat yang menempatkan 16 mangsa dan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam, Hulu Selangor menjadi tempat berlindung 31 mangsa.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.