ad

Banjir: Satu PPS dibuka di Port Dickson tempatkan 33 mangsa

15 Sep 2025, 4:52 AM
Banjir: Satu PPS dibuka di Port Dickson tempatkan 33 mangsa

SEREMBAN, 15 SEPT: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Kampung Jimah Lama, Port Dickson pada 10.40 pagi tadi bagi menempatkan 33 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas akibat banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson Kapt (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata mangsa terdiri daripada 18 dewasa dan 15 kanak-kanak dari Kampung Jimah Lama, Lukut.

“Hujan lebat berlaku kira-kira lima jam sejak 12 tengah malam tadi. Kita menjangkakan jumlah mangsa di PPS akan bertambah, bagaimanapun cuaca ketika ini cerah dan banjir dijangka surut sepenuhnya dalam beberapa jam lagi.

“Kampung tersebut sememangnya hotspot banjir kerana lokasinya berdekatan dengan sungai dan kawasan rendah. Tiada kerosakan harta benda dilaporkan akibat banjir itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata anggota APM masih melakukan pemantauan di lokasi selain bertugas di PPS berkenaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.