SHAH ALAM, 15 SEPT: Kira-kira 400 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap susulan kejadian kepala air di tapak perkhemahan Ali River Campsite, Kuala Kubu Baharu, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 5.47 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu digerakkan ke lokasi kejadian, katanya menerusi kenyataan.
“Semua mangsa yang dianggarkan seramai 400 orang berjaya dipindahkan ke kawasan tinggi dan selamat dengan pemantauan anggota bomba.
“Keadaan hujan turut dilaporkan semakin reda dan paras air beransur surut,” katanya dalam kenyataan.
Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.