Di tengah ladang getah yang sunyi, buruh Tamil suatu ketika dahulu menyulam hidup mereka dengan lagu.
Bukan sekadar hiburan, nyanyian itu menjadi penawar lelah, pengubat rindu dan teman sunyi ketika tangan tidak berhenti menoreh.
Dalam lirik ringkas, mereka menzahirkan segalanya. Lapar yang menghimpit, cinta yang jauh, tangisan kehilangan, sindiran terhadap mandor malah kerinduan kampung halaman.
Lagu-lagu ini adalah diari lisan, mencatat kisah yang jarang tertulis dalam buku sejarah. Namun, seperti tradisi lisan lain, suara itu perlahan-lahan lenyap.
Generasi muda semakin asing dan nyanyian estet hampir pupus, sehinggalah seorang anak muda tampil menghidupkannya kembali.
Gogularaajan Rajendran, lulusan Ijazah Seni Bina Universiti Malaya (UM) yang pernah membawa filem pendek Walay Balay ke pentas Cannes, memilih jalan berbeza kali ini.
Beliau sedang menghasilkan dokumentari muzik bertajuk “Aararo Aariraro”, dinamakan sempena lagu buaian tradisional Tamil yang penuh kelembutan.
“Projek ini bukan sekadar filem. Ia usaha mengangkat semula sejarah dan penderitaan buruh estet yang pernah membentuk sebahagian besar masyarakat Tamil di Malaysia,” katanya.

Menariknya, dokumentari ini tidak bergantung kepada penyanyi profesional. Sebaliknya, bekas pekerja ladang sendiri bakal mengalunkan lagu-lagu itu.
Mereka akan dilatih oleh artis muzik rakyat dari Thanjavur, Tamil Nadu. Suara yang pernah bergema di estet puluhan tahun lalu kini diberi ruang untuk kembali berlagu.
Latar dokumentari ini juga tidak konvensional. Bunyi torehan getah, ketukan parai dan desiran alam akan menjadi muzik latar, menyalin semula suasana kehidupan ladang.
“Dalam dokumentari ini, muzik hanyalah pengiring. Jiwa utamanya ialah suara penyanyi. Suara yang pernah dilupakan, kini diberi ruang untuk hidup semula,” jelasnya.
Koleksi khazanah
Inspirasi projek ini datang daripada koleksi mendiang Prof Dr R Thandayutham, bekas pensyarah UM, yang menghimpun lebih 500 lagu rakyat estet sepanjang hayatnya.
Daripada khazanah itu, Gogularaajan memilih 15 lagu untuk dijadikan dokumentari berdurasi 90 minit.

Penggambaran akan berlangsung di beberapa lokasi bersejarah seperti Pulau Carey, Ladang Brooklands, Ladang Sungai Sedu di Kuala Langat dan Ladang Kerling di Hulu Selangor.
Bagi Gogularaajan, setiap lokasi bukan sekadar latar, tetapi tapak memori yang pernah menyimpan tangis dan nyanyian buruh estet.
Projek ini digerakkan bawah produksi Om Sakthi Films, syarikat milik abangnya, Kumanavannan Rajendran.
Daripada RM120,000 yang diperlukan untuk menghasilkan dokumentari ini, RM80,000 berjaya dikutip melalui platform pendanaan ramai (crowdfunding).
Beberapa organisasi turut memberi sokongan. Antaranya Krishen Jit Foundation, University of Toronto, Yayasan Kannadasan, MySkill, MyCreative Ventures dan Mahsa Group.
Jika berjalan lancar, penggambaran bermula hujung September dan pascaproduksi dijangka selesai pada Mac tahun depan.
Dokumentari ini akan dibawa ke festival filem antarabangsa sebelum dimuat naik ke YouTube untuk tontonan percuma seluruh masyarakat.
“Harapan saya mudah, agar generasi akan datang tidak lupa suara ini. Kerana di dalam nyanyian itu tersimpan sejarah, maruah dan jiwa kita,” kata Gogularaajan.