ALOR SETAR, 14 SEPT: Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang maut ditikam dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak, Khamis lalu, mengalami 28 kesan tikaman dan kelaran pada badan masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Baderulhisham Baharudin berkata hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Jumaat lalu mendapati wanita berusia 28 tahun itu meninggal dunia akibat tikaman di dada, manakala lelaki berusia 30 tahun maut akibat tikaman di leher.
“Wanita berkenaan mengalami 20 kecederaan di dada, leher, tangan dan kaki, manakala mangsa lelaki mengalami lebih lapan kecederaan di dada, leher dan belakang badan. Siasatan polis percaya kejadian berpunca daripada cemburu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata semalam, polis turut merampas sebilah pisau yang dibeli suspek di sebuah kedai dan dipercayai digunakan dalam kejadian itu, sebelum dibuang ke kawasan semak di Sungai Petani, sebelum suspek berjaya dikesan dan ditahan di sebuah negeri di Pantai Timur.
Menurutnya semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 29 tahun itu pernah disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana cubaan melanggar mangsa lelaki.
“Suspek direman enam hari bermula semalam hingga 17 September ini bagi membantu siasatan. Dua anak mangsa kini dijaga keluarga ibu sebelah suspek,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, dekat Yan, Khamis lalu.
Mangsa lelaki ditemukan tertiarap di atas jalan hadapan sebuah rumah, manakala wanita terbabit dijumpai di dalam kereta jenis Proton Wira, tidak jauh dari lokasi mayat lelaki.
Dalam perkembangan berasingan, Baderulhisham berkata polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kabel pencawang telekomunikasi membabitkan 31 kes di Kota Setar, Kubang Pasu, Yan dan Padang Terap di Kedah serta Arau dan Padang Besar di Perlis, susulan penahanan 10 individu.
Katanya kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita, termasuk seorang juruteknik pencawang, pemilik premis barang lusuh dan penganggur yang mengaku terlibat dalam kegiatan itu.
Menurutnya penahanan dibuat susulan laporan kecurian kabel pencawang di Jalan Putra, di sini pada 24 Ogos lepas.
“Hasil siasatan mendapati dua daripada mereka adalah bekas subkontraktor syarikat telekomunikasi yang menyamar sebagai juruteknik dengan memakai pakaian keselamatan, sebelum masuk ke kawasan pencawang menggunakan kunci pendua.
“Kabel dipotong digulung, dibakar dan dijual kepada pemilik barang lusuh antara RM25 hingga RM35 sekilogram. Anggaran kerugian syarikat mencecah RM50,000, manakala nilai rampasan dianggarkan RM15,000,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379/431 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis turut menumpaskan tiga kumpulan curi motosikal, sekali gus berjaya menyelesaikan 10 kes curi motosikal dan komponen sejak awal tahun ini di daerah Kota Setar, dengan penahanan enam lelaki tempatan.
“Polis merampas sebuah motosikal curi, dua rangka motosikal, beberapa komponen seperti rangka yang dipotong, enjin serta rim. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 379A(1) Kanun Keseksaan,” katanya.
- BERNAMA