ad

113 pelajar teruja sertai program Bermalam di Muzium 2025

15 Sep 2025, 1:15 AM
113 pelajar teruja sertai program Bermalam di Muzium 2025
113 pelajar teruja sertai program Bermalam di Muzium 2025

SHAH ALAM, 15 SEPT: Seramai 113 pelajar teruja menyertai program Bermalam di Muzium 2025 di Muzium Sultan Alam Shah di sini, anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata program tahunan sejak 2005 itu melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah sekitar Shah Alam bagi membentuk generasi muda yang menghargai sejarah, warisan dan budaya.

“Mereka adalah pelapis dan mewarisi sejarah. Jangan sahaja kita sebut sejarah Selangor atau sejarah negara, tapi sejarah keluarga juga harus diperkasakan.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Bermalam di Muzium 2025 di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 14 September 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Kalau mereka kata ada ayah kerja pegawai polis, datuk penghulu, dan mungkin mereka ada terima anugerah khas, maka jadikan itu sebagai satu motivasi untuk generasi akan datang. Ini perlu dipupuk di peringkat generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup program Bermalam di Muzium 2025 di Muzium Sultan Alam Shah di sini, semalam.

Sementara itu, peserta, Mohamad Hazim Ilham Abdullah, 17, meluahkan rasa gembira dapat menimba pelbagai ilmu baharu selain berkenalan dengan rakan daripada pelbagai sekolah lain.

“Saya bangga dapat sertai program ini. Saya ingat hanya ada aktiviti baca buku atau dengar ceramah, tetapi rupanya di luar jangkaan saya. Ada banyak aktiviti menarik.

Mohamad Hazim Ilham Abdullah, 17, ditemui dalam Program Bermalam di Muzium di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 14 September 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Saya juga dapat berkenalan dengan kawan-kawan dari pelbagai sekolah. Saya sangat bersyukur dapat terpilih sertai program ini,” katanya pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAS) itu.

Sementara itu penerima anugerah Peserta Terbaik Perempuan, Syasya Qistina Bahrun, 17, berkata beliau teruja mempelajari peranan serta tugas kurator yang disifatkan sebagai tulang belakang muzium.

Syasya Qistina Bahrun 17, ditemui dalam Program Bermalam di Muzium di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 14 September 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Datang sahaja kami dapat belajar apa itu kurator. Ramai patut tahu mengenai kurator. Kurator itu sendiri ajar kami tugas dan kepentingan kurator.

“Malam tadi juga kami ditempatkan dalam khemah berhampiran tempat pameran artifak perkuburan. Ia agak mencabar tetapi kemudahan yang disediakan semuanya sangat bagus,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.